Saturday, March 28, 2015

Nilai personaliti, akauntabiliti dan integriti

Assalammualaikum dan salam sejahtera.
Guru berperanan mendidik dan melahirkan anak bangsa yang menyeluruh dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek (JERI). Peranan guru sebagai pendidik amatlah dipercayai kerana profesion perguruan amat dipandang tinggi oleh masyrakat. Seseorang guru bertanggungjawab dalam memberikan pendidikan dalam ilmu pengetahuan, iaitu dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Selain itu, guru juga memainkan peranan penting dalam menerapkan modal insan dalam diri murid dengan memberikan didikan yang membentuk sikap, nilai, akhlak dan peribadi murid melalui pembentukkan sahsiah yang baik. Oleh itu, personaliti, akauntabiliti dan intergriti seseorang guru memainkan peranan yang penting dalam menjadi penanda aras kepada guru sebagai pengamal refleksi.

Personaliti membawa maksud satu konsep yang menggambarkan keperibadian seseorang manusia. Mengikut Dictionary of Psychology (1973), personaliti ditakrifkan sebagai hasil paduan sifat fizikal, mental, emosi, nilai dan perlakuan seseorang manusia dalam perhubungan sosialnya, sebagaimana yang dilihat oleh manusia lain. Oleh itu, seseorang guru perlu mampamerkan personaliti yang baik sama ada kepada murid, rakan sekerja mahu pun masyarakat.. Murid akan menilai setiap perwatakan dan tingkah laku seseorang guru itu. Murid juga akan membuat tanggapan dan persepsi terhadap guru yang dinilai dan mereka akan menceritakan hasil tanggapan mereka kepada pihak lain, iaitu ibu bapa, rakan-rakan atau masyarakat sekeliling. Oleh itu, guru hendaklah bijak dalam menjaga tingkah laku yang akan menggambarkan personaliti seseorang guru.

Berdasarkan pengalaman latihan mengajar saya yang lalu, saya mendapati bahawa murid-murid telah memberi tanggapan pertama mereka pada hari pertama saya memasuki kelas mereka. Mereka menganggap saya seorang guru yang garang, kerana pada awalnya saya telah memasuki kelas mereka dengan perwatakan yang serius dan telah menetapkan beberapa syarat untuk mereka patuhi selama saya mengambil alih kelas mereka. Hal ini kerana, guru asal kelas mereka telah memberi peringatan kepada saya untuk menunjukkan personaliti seorang guru yang tegas agar mereka tidak mudah untuk mempermainkan guru pelatih seperti mana guru-guru pelatih yang sebelum ini. Namun begitu, saya tidak menjadikan suasana PdP dalam keadaan yang serius. Saya telah menyelitkan beberapa unsur-unsur humor kepada murid-murid saya dan mereka mula menunjukkan komunikasi yang baik. Mereka juga mula menunjukkan suatu perubahan dengan banyak melibatkan diri dalam proses PdP. Akhirnya mereka tidak menganggap saya guru yang garang dan mereka selesa belajar dengan saya. Mereka menukar tanggapan mereka terhadap saya dengan mengatakan bahawa saya seorang guru yang tegas dan penyayang.

Akauntabiliti pula merupakan tangunggajawab seseorang terhadap tugas yang perlu dilaksanakan. Profesion perguruan tergolong dalam perkhidmatan awam. Tanggungjawab kaki tangan perkhidmatan awam dalam melaksanakan tugas-tugas yang diserahkan dan juga memastikan matlamat dan objektif yang ingin dicapai. Tanggungjawab utama seorang guru adalah mendidik, namun begitu seseorang guru juga terdapat tangunggajwab sampingan yang lain yang perlu dilaksanakan seperti menanda kertas peperiksaan, mengurus aktiviti kokurikulum, mengurus majlis-majlis di sekolah dan lain-lain.

Semasa latihan mengajar saya, pelbagai aktiviti yang telah saya sertai. Guru-guru di SMK Sultan Alauddin memberikan kepercayaan kepada saya untuk turut membantu mereka sebagai AJK pelaksana dalam beberapa program. Oleh itu, saya perlu melaksanakan tanggungjawab yang telah diberikan untuk mencapai matlamat yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah. Saya perlu bijak dalam mebahagikan masa antara persiapan proses PdP dengan gerak kerja setiap aktiviti.

Integriti merujuk kepada kualiti unggul yang wujud secara keseluruhan dan padu kepada individu dan organisasi, ( Institut Integriti Malaysia, 2004 ). Intergriti berkait rapat dengan etika. Dalam profesion perguruan sememangnya telah ditetapkan etika yang perlu dipatuhi oleh setiap guru. Integriti juga dikaitkan dengan nilai murni seperti jujur, telus, keutuhan, adil, dan amanah. Intergriti guru sebagai penjawat awam merujuk kepada guru perlulah melaksanakan amanah dan tanggungjawab. Saya telah menerapkan nilai intergriti semasa latihan mengajar. Berdasarkan komen dan pandangan daripada guru pembimbing dan pensyarah, saya berjaya menerapkan nilai integriti sebagai guru. Saya telah mengajar dengan penuh keikhlasan dan kasih sayang yang mewujudkan hungan yang baik antara guru dan murid.


Personaliti, akauntabiliti dan intergriti sememangnya memainkan peranan penting sebagai penanda aras kepada guru. Guru sebagai pengamal refleksi perlu menekankan ketiga-tiga aspek ini dalam memperbaiki diri dari semasa ke semasa. Hal ini akan membantu guru dalam meningkatkan kualiti dan keunggulan seseorang guru dalam profesion perguruan. Oleh itu, guru akan terus dihormati dan disegani oleh semua lapisan masyarakat.





No comments:

Post a Comment