Pengajaran dan pembelajaran yang hendak dikembangkan seharusnya mengikut instrumen yang telah ditetapkan oleh bahagian-bahagian pengurusan di atas. Jabatan Pendidikan Islam Dan Moral adalah satu-satunya jabatan yang bertanggungjawab untuk memperkenalkan dan menyelaraskan instrumen-instrumen berkenaan untuk digunapakai oleh organisasi di bawah kawalan. Modul pengajaran dan pembelajaran yang disediakan oleh JAPIM telah melepasi piawai yang dikehendaki oleh pengurusan sekolah dan jemaah nazir sekolah. Beberapa perkara penting yang dititikberatkan dalam modul berkenaan iaitu hasil pembelajaran dan fokus, isi kandungan pelajaran, set induksi, perkembangan pengajaran dan pembelajaran. Penilaian, rumusan, tugasan dan refleksi.
Set induksi :
Merupakan suatu perkara atau proses yang diperkenalkan pada minit pertama pengajaran yang bertujuan untuk menarik perhatian dan mendorong murid mempengaruhi hasil pembelajaran, set induksi yang menarik dapat menimbulkan minat murid terhadap tajuk yang hendak disampaikan guru, murid memperolehi gambaran awal sebelum dimulakan pengajaran tajuk yang sebenar, mendorong pelajar untuk mengetahui isi pengajaran, dan pemusatan mental murid kepada satu konsep atau pendekatan yang hendak dikemukakan oleh guru.
Set induksi boleh disediakan dalam pelbagai bentuk dan kaedah yang menarik, seperti tayangan sedutan filem, sebuah nasyid, pantun, puisi, satu persembahan atau lakonan, permainan, soal jawab, mempamerkan suatu bentuk atau objek, suatu penyataan yang kontroversial, klip vedio tentang sesuatu panorama, atau satu peristiwa yang telah berlaku, atau menyediakan satu bahan atau satu persoalan yang mencabar minda murid. Set induksi yang hendak disediakan hendaklah yang dapat dikaitkan dengan hasil pembelajaran, isi pelajaran, yang mendorong minat murid terhadap tajuk yang hendak diajar, dan dimulakan dalam keadaan murid sudah bersedia bagi memulakan sesuatu sesi pengajaran dan pembelajaran, dalam jangka masa antara satu hingga lima minit.
Perkembangan isi pelajaran :
Perkembangan isi pelajaran berlaku secara berurutan dengan set induksi, bagi matapelajaran Pendidikan Islam langkah-langkah perkembangan dibahagikan kepada tiga aras. Aras pertama adalah aras asas dan semua murid kelas yang di ajar hendaklah menguasai aras ini, sekiranya gagal mereka dikehendaki mengikuti program pemulihan melalui pendekatan yang lebih mudah seperti menyediakan soalan-soalan yang mudah difahami serta nota ringkas dan mereka membaca dan memahami nota dengan bimbingan guru kemudian menjawab soalan manakala murid-murid lain akan terus ke aras kedua iaitu meneruskan perkembangan selanjutnya, setelah itu guru membuat penilaian, sekiranya ada yang gagal, murid-murid berkenaan diberikan program pemulihan dengan pendekatan yang lebih sesuai, murid-murid lain terus ke aras ketiga sehingga selesai dan diikuti dengan penilaian yang terakhir dipenghujung pengajaran dan pembelajaran.
Langkah-langkah perkembangan isi pelajaran perlu bermula dari yang mudah kepada yang lebih kompleks, langkah-langkah disusun dengan menggunakan kaedah-kaedah dan teknik-teknik pengajaran yang sesuai, secocok dengan kemampuan serta menarik minat murid untuk terus menghayati ilmu yang sedang diterokai. Aktiviti-aktiviti yang dijalankan dapat dilaksanakan dengan berkesan mengikut masa yang telah ditetapkan, jika tidak, pembaziran masa akan berlaku dan isi kandungan tidak dapat diselesaikan. Setiap isi pelajaran yang diperuntukkan dalam masa tersebut dapat dinyatakan, difahami, dan sebahagian murid pula dapat menganalisa, membandingbeza dan dapat membuat penilaian.
Pembinaan modal insan yang berkualiti yang menjadi agenda Negara sewajarnya dipupuk dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Pembinaan intelek, rohani, emosi dan jasmani seharusnya disemai melalui aktiviti-aktiviti dalam pengajaran dan pembelajaran yang berterusan supaya ianya menjadi amalan, penghayatan dan pembudayaan. Penyerapan dengan matapelajaran yang lain, termasuk prinsip-prinsip Islam Hadhari, penggabungjalinan dengan tajuk-tajuk lain, serta penerapan nilai. Guru menggunakan berbagai kaedah dan teknik bagi meningkatkan penguasaan ilmu di samping menjana kemahiran berfikir, termasuk kemahiran-kemahiran lain seperti kemahiran berkomunikasi dan berintraksi, kemahiran menulis, kemahiran berhujah, kemahiran imiginasi dan sebagainya, bagi membentuk kemenjadian murid.
Kemahiran menggunakan sumber yang sedia ada menjadikan pengajaran dan pembelajaran lebih berksan, seperti alat bantuan mengajar dan bahan bantuan mengajar dan bahan bantuan belajar kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi, bahan rujukan tambahan, bahan maklumat tambahan dan sebagainya menjadi inspirasi guru untuk memudah dan mempercepatkan proses pengajaran dan pembelajaran. Sumber pengajaran dan pembelajaran hendaklah yang lebih releven dengan hasil pembelajaran serta isi pembelajaran. Sumber itu dapat mempercepat dan menjimat masa pembelajaran, menarik minat murid, dan boleh disertai oleh semua murid. Maklumat dari sumber berkenaan adalah tepat, pengolahan yang mudah difahami, senang digunakan dan boleh diubah dan sesuai dengan keadaan semasa.
Apabila seluruh potensi insan dibangunkan secara intergrasi atau bersepadu, ia bakal melahirkan insan yang berketrampilan yang mampu menyumbangkan segala kebolehan untuk kebaikan diri, masyarakat dan Negara. Hati adalah penentu dalam pembangunan insan kerana hati menjadi punca penggerak dan keinnginan manusia dan dari hati juga lahirnya pertimbangan dan nilai sesuatu amalan. Hati perlu menjalani proses pendidikan supaya lahirnya hati yang bersih, baik dan bermanfaat. Intergrasi ilmu yang bersandarkan kepada al-Quran dan as-Sunnah dan dikaitkan dengan berbagai cabang ilmu, bakal melahirkan modal insan yang berkualiti.
No comments:
Post a Comment